Saturday, February 20, 2010

Saya tidak ada kena mengena dengan Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan oleh Presiden Malaysian Bar bertarikh 18 Februari, 2010

Bismillahirahman nir Rahim

Dengan hormatnya saya merujuk kepada Kenyataan Akhbar oleh Presiden Malaysian Bar Council bertarikh 18 Februari, 2010.

Memang saya seorang ahli Malaysian Bar Council (MBC) tetapi saya tidak ada kena mengena dengan kenyataan akhbar tersebut dan saya tidak boleh berdiam diri melihat beliau membuat kenyataan tersebut tanpa mengambilkira pandangan dan sensitiviti semua ahli, terutamanya kami yang beragama Islam.

Terdapat perbezaan di antara hukuman sebat di bawah Penal Code dan undang-undang Syariah. Orang kafir mungkin tak tahu hal ini.


MBC tidak pada mana-mana keadaan mewakili pengamal undang-undang Syariah yang beramal di Mahkamah Syariah.


Mengikut pengetahuan saya, (kalau salah tolong perbetulkan) Al-Quran Surah Israa': Ayat 32 menyuruh orang Islam menjauhi zina kerana ianya adalah pintu segala kejahatan. Kalau fikir logik akal pun, seks bebas, zina itu perosak keturunan, menyebabkan gejala buang anak, pengguguran, malahan memungkinkan jangkitan AIDS dan HIV (setakat ini 16 juta pengidap di seluruh dunia) yang mungkin melenyapkan manusia dari bumi Allah ini.

Saya bukan ustazah tapi sebagai seorang ibu, saya tak sanggup lagi melihat anak sekecil 4 hari dibuang dan dibakar dalam tong sampah. Mungkin wanita itu dirogol tanpa kerelaannya, saya tidak mahu menghakiminya, tapi kenapa bayi itu perlu dibunuh dan dibakar?


Betul kata ustaz saya, kita semua kena kembali ke jalan Allah, malahan hukuman sebat memang patut dijalankan kepada penzina dan peminum arak itu kerana ia memang pintu yang membuka banyak lagi kejahatan.

Oleh itu, kenyataan MBC (yang tidak mewakili saya dan beberapa kawan-kawan yang lain) yang lantangnya menyatakan hukuman sebat ini tidak berperikemanusiaan (macamlah buang anak itu sangat berperikemanusiaan?) dan meminta hukuman sebat ini dimansuhkan dan menyatakan ianya dipersetujui oleh semua ahli MBC adalah TIDAK BENAR dan saya tidak ada kena-mengena dengan kenyataan beliau tersebut.

Sebab itulah mesyuarat agung MBC selalu terbatal dan untuk mencapai korum pun amat sukar kerana sukar untuk kami menerima ideologi mereka yang nyata bercanggah dengan ajaran Islam. Saya sendiri memang tidak pernah menghadirinya.


Bosan saya dengan mereka yang melabel diri sebagai wakil kami yang mengeluarkan kenyataan sesuka hati.

No comments: